• October Special
  • Combo 4 items at RM150
  • More Special! 5 items at RM200
icon-search
icon-search

Hari Gawai

Hari Gawai

Apakah itu Hari Gawai? 

Mengikut laman Dewan Budaya, Hari Gawai (atau selalu disebut sebagai Gawai Dayak) merupakan perayaan tradisi yang disambut oleh etnik Iban, Bidayah dan orang ulu di Sarawak. Perayaan ini disambut pada 1 Jun setiap tahun. Sejak 25 September 1964, Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak dan sambutan yang pertama pada peringkat negeri dianjurkan pada 1 Julai 1965. Sebelum dipanggil Hari Gawai, cuti umum ini dipanggil “Hari Sarawak” oleh pemerintah Raja Brooke.

Hari Gawai diraikan sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi bukit, selain untuk melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada “petara” atas rezeki padi yang diperoleh pada musim tersebut. Maka itu, Hari Gawai merupakan hari untuk suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu untuk berpesta dan bergembira bagi meraikan rezeki menuai padi kerana perkataan “gawai” itu bermaksud pesta.

Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun. Mereka mengadakan beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung atau ngiling tikar.

 

Perayaan Hari Gawai

Sumber: Dewan Budaya

 

Persediaan untuk menyambut Gawai Dayak bermula bila tibanya bulan Mei dengan penapaian “tuak” iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa selama kira-kira sebulan. Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil “sarang semut”, “acuan” dan “kuih sepit”. Hari Gawai juga turut dilazimi dengan amalan ziarah-menziarahi yang dipanggil ngabang (Iban) atau bijarah (Bidayuh).

Dalam tempoh sebulan menjelang Hari Gawai, pertandingan “Kumang Gawai” dan “Keling Gawai” akan diadakan bertujuan untuk memilih gadis dan jejaka yang bukan sahaja cantik dan tampan tetapi mempunyai pengetahuan tentang adat dan tradisi suku kaum masing-masing.

Makanan tradisi, iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh menjadi menu wajib yang dihidangkan semasa Hari Gawai. Bagi masyarakat Iban, hidangan tradisi itu disebut “ayam pansuh” atau “manok pansuh” manakala suku kaum Bidayuh pula memanggilnya “assam” atau “issam. Namun terdapat sedikit perbezaan antara “ayam pansuh” dan “assam”. “Ayam pansuh” ialah daging ayam yang dicampurkan daun pucuk ubi manakala “assam” ialah daging ayam yang digaul dengan nasi yang sudah dimasak.


Perayaan Tradisi yang Kekal Terpelihara

Sememangnya perayaan Hari Gawai menjadi lambang yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan identiti suku kaum peribumi di Sarawak. Kini, walaupun pemodenan di Sarawak semakin berkembang, Hari Gawai masih kekal sebagai perayaan tradisi utama yang disambut meriah oleh masyarakat di Bumi Kenyalang. 

Strixe ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada kaum Dayak Sarawak yang menyambut perayaan ini. Bersama kita meraikan kemeriahan sambutan perayaan ini dalam semangat perpaduan yang utuh bersama keluarga dan rakan taulan.Terima kasih juga pelanggan dari Sarawak yang sudi menyokong kami. Hasil sokongan kalian, Strixe kini dapat mempelajari banyak adat kaum Sarawak yang ternyata sangat unik dan menarik untuk kami terus mengeluarkan design design yang boleh menaikkan keunikan tersebut. 

Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai!

 

Sumber Artikel:-

  1. https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2022/06/02/1953/
  2. https://ecentral.my/selamat-hari-gawai/
  3. https://www.iloveborneo.my/ini-sejarah-dan-info-menarik-mengenai-hari-gawai-di-sarawak/

 

 

 



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping